Monday 30 September 2013

DURIAN Belanda kaya nilai perubatan

Durian belanda adalah di antara 60 spesis buah nona dari keluarga Annonaceae. Ia bersasal dari Amerika Utara dan Selatan serta Caribbean tetapi kini boleh ditemui di semua negara tropika yng beriklim panas di seluruh dunia.
Dari Amerika Selatan, buah itu diperkenalkan be Bermuda dan Bahamas, dan dari selatan Mexico, ia dibawa ke Peru dan Argentina. Ia juga merupakan salah satu daripada buah-buahan pertama yang
diperkenalkan dari Amerika ke negara-negara Tropika, di mana ia diagihkan secara meluas dari tenggara China ke Asia Tenggara, Australia dan kawasan rendah di timur dan barat Afrika.
Di Malaysia, durian belanda yang juga dikenali sebagai nona duri ataupun nona nangka, merupakan salah satu daripada buah-buahan tempatan yang popular. Ia banyak ditanam di kawasan kampung dan kini dijual di kebanyakkan pasar raya utama di seluruh negara.
Dikenali sebagai Annona muricata dari segi saintifik, pokok durian belanda tumbuh setinggi 7.5 ~ 9 meter, berdahan rendang dengan ranting yang berbulu halus. Daunnya berwarna hijau tua dengan permukaan yang licin dan berkilat dan mengeluarkan bau yang agak busuk bila diramas.
Bunga durian belanda yang bertangkai pendek boleh tumbuh di mana-mana bahagian batang, dahan dan ranting pokok. Setiap satunya mempunyai tiga kelopak tebal berwarna kuning kehijauan di bahagian luar dan tiga lagi kelopak yang lebih kecil berwarna kuning muda di sebelah dalam.
Daripada bunga itulah muncul buah durian belanda yang berbentuk lebih kurang seperti hati tetapi ada juga yang melengkung sebelah akibat diserang serangga ataupun akibat proses pertumbuhan tidak sempurna.
Saiznya berbeza-beza, dengan setiap satunya sepanjang 10-30cm dan selebar 15cm dan beratnya boleh mencecah sehingga 2-4 kilogram sebiji. Kulitnya tebal berwarna hijau tua semasa muda yang bertukar menjadi hijau kekuningan setelah masak. Di bahagian luar, terdapat duri-duri lembut dengan bahagian hujung duri berkenaan mudah patah bila buahnya masak.
Isinya berserat berwarna putih dan bersari seperti isi ikan. Ia mempunyai aroma seperti nanas tetapi mempunyai rasa masam asid yang unik. Bijinya pula hitam berbentuk bujur, keras dan licin.Durian belanda manis atau masam-masam manis rasanya. Oleh itu ia enak dimakan segar. Isinya yang lembut setelah masak boleh juga dibuat minuman, aiskrim, tat, jeli, sirap dan salad buah-buahan ataupun didinginkan untuk disajikan sebagai pencuci mulut bersama-sama sedikit gula dan susu ataupun krim.
Selain itu, durian belanda juga digunakan sebagai bahan masakan. Di Indonesia, buah yang masih muda dimasak sayur ataupun dibuat sup. Di Brazil, ia dibakar ataupun digoreng.
Di Malaysia, jus durin belanda pula merupakan minuman popular yang menyegarkan di restoran-restoran terkemuka di seluruh negara. Kaedah membuatnya cukup mudah. Setelah dibuang biji, isinya dikisar bersama-sama sedikit gula, air ataupun susu dan dicampur dengan sedikit ais kiub.
Akhir-akhir ini, banyak yang diperkatakan tentang khasiat durian belanda dan nilainya kepada manusia. Buah itu kaya dengan vitamin A, B1 (Thiamine) dan B2(Roboflavin), C, niasin, asid folik dan asid lelemak. Ia juga mengandungi sedikit lemak, karbohidrat, protein, serat, serta zat galian seperti zat besi, sodium, kalsium, potassium, fosforus dan juga magnesium.
Kajian-kajian terbaru menunjukan bahawa daun, akar, kulit pokok, buah dan biji durian belanda mengandungi beberapa jenis bahan kimia bioaktif seperti acetogenins, alkaloids, terpenes, flavonoids dan minyak.
Bahan kimia acetogenins, yang hanya ditemui pada spesies nona darpada keluarga Annonaceae, didapati bersifat, antara lain, antibakteria, antiserangga, antiketumbuhan, antimalaria dan antiparasit.
Ciri-ciri itu telah menarik perhatian beberapa buah badan dan institusi kesihatan di seluruh dunia, termasuk Institut Barah Kebangsaan Amerika Syarikat, untuk menjalankan kajian secara lebih mendalam tentang keberkesanannya dalam memerangi penyakit barah, khususnya barah usus, barah payu dara, barah prostat, barah paru-paru dan barah pankreas.
Selain dikaji untuk mengubati barah, durian belanda juga digunakan dalam perubatan tadisional untuk mengatasi masalah kesihatan. Buah dan jusnya digunakan untuk melawaskan kencing, membunuh cacing kerawit dan parasit, mengubati demam dan meningkatkan pengaliran susu ibu.
Ia juga bertindak sebagai astringen untuk meredakan cirit-biit dan disentri serta merawat penyakit hati. Kulit pokok, daun dan akar durian belanda pula direbus dan airnya diminum untuk mengawal diabetes dan tekanan darah tinggi.
Buah durian belanda yang masih muda boleh direbus dan airnya diminum untuk mengubati penyakit disenteri. Daunnya pula ditumbuk halus kemudian ditampal ke bahagian sendi untuk melegakan penyakit sengal tulang atau disapu pada kulit bagi merawat ekzema atau masalah-masalah kulit yang lain.
Selain itu, daun durian belanda diramas untuk dibuat mandi bagi meredakan demam. Kaedah yang sama juga digunakan di bahagian kepala untuk membunuh kutu. Masalah yang sama boleh diatasi dengan cara menumbuk bijinya kemudian disapu ke rambut. Bagaimanapun, berhati-hati jika menggunakan biji durian belanda kerana ia mengandungi sejenis minyak yang boleh memedihkan mata.


sumber : SAJI mei 2003

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
hai!Saya ialah salah seorang pengedar dan pengamal biji aprikot berjenama Afdhal.