Adakah anda seorang lelaki berusia lewat 50-an ke atas dan sering mengalami beberapa gejala masalah membuang air kecil? Sukar dipercayai jika jawapan anda mengatakan 'tidak' melainkan anda bukan lelaki 'tulen' dan telah membuang organ seks tersebut.
Menurut Dr.Loh Chit Sin,Pakar Perunding Urologi, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dalam kempen 'Fight For Your Man' baru-baru ini, semua lelaki akan mengalami 'Benign Prostat Enlargement'(BPH) iaitu pembesaran prostat sejajar dengan peningkatan usia.
BPH akan menyebabkan lelaki kerap ke tandas, sukar membuang air kecil dan tak lawas. Bagaimanapun, BPH bukanlah kanser walaupun berkongsi simptom-simptom yang sama dengan kanser prostat.
"Kanser prostat sangat sukar dikesan sekiranya anda tidak membuat pemeriksaan. Ia sangat tersorok, tidak dapat dilihat dan tidak dapat dirasai, bahkan peringkat awal pun langsung tiada tanda-tanda,"katanya.
Disebabkan itu, ia kanser kedua tertinggi di kalangan lelaki seluruh dunia. Amerika Syarikat mencatatkan jumlah tertinggi kes kanser prostat. Berdasarkan kenyataan American Institute of Cancer Research, kira-kira 233,000 lelaki di negara tersebut didiagnosis dengan kanser prostat dan 30,000 kematian dilaporkan setiap tahun.
Biarpun Malaysia tidak berhadapan jumlah kes yang begitu tinggi, namun peningkatan kes masih dapat dilihat. Menurut Dr.Chit Sin, daripada kajian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, angka pesakit yang didiagnosis kanser prostat meningkat dari 2,500 kepada 3,000 kes dalam setahun.
Disifatkan sebagai penyakit negara maju punca sebenarnya masih belum dikenal pasti secara khususnya. Tetapi, menurut Dr.Chit Sin, boleh dikatakan ia sangat dipengaruhi oleh faktor gaya hidup dan disertai dengan beberapa faktor lain.
"10 peratus pesakit yang didiagnosis mengidap kanser prostat dikesan daripada faktor keturunan. Selebihnya adalah secara spontan dan tiada sebab yang jelas. Namun, kanser prostat berkait rapat dengan kanser payudara. Jumlah pesakit kanser prostat lebih ramai dikesan di kalangan ahli keluarga yang mempunyai sejarah kanser payudara berbanding yang tiada sejarah tersebut.
Tambahnya lagi, pemakanan turut menjadi faktor penyumbang kepada penyakit ini. Ia dilihat berdasarkan kajian yang telah dilakukan berpuluh-puluh tahun dahulu. Hasil menunjukkan insiden yang berlaku di Jepun adalah rendah berbanding Amerika Syarikat. Justeru, beberapa penyelidik di Amerika Syarikat bersepakat melakukan kajian di Los Angeles yang didiami oleh ramai warga Jepun.
"Kajian mendapati jumlah warga Jepun yang mengidap kanser prostat di Los Angeles 10 kali lebih ramai berbanding yang menetap di negara asal mereka. Masing-masing mewakili darah dan gen yang sama, cuma apa yang membezakan adalah dari segi makanan,minuman dan udara.
info: February 2015 iSIHAT.