Sepanjang bulan Zulkaedah ini sehinggalah Zulhijah nanti, umat islam di Mekah akan melalui suatu kembara iman yang unik. Kemuncak ibadat haji adalah pada 9 Zulhijjah, apabila sekalian jemaah haji akan berwukuf atau berhenti sejenak di padang Arafah, antara waktu gelincir matahari (masuk waktu zuhur) sehingga terbit fajar keesokan harinya.
Bagi orang yang tidak menunaikan haji, mereka meraikan hari raya korban pada 10 Zulhijjah, sementara di Tanah Suci, jemaah haji sibuk menumpukan perhatian pada ibadah. Menghayati ibadah haji dan pengertian di sebaliknya, cukup memberikan motivasi yang boleh membangunkan diri dan minda.
SEJARAH MEKAH SANGAT MENGUJAKAN
Mekah bersasal daripada kata 'Bakkah' (lembah yang dikelilingi bukit batu), mempunyai binaan paling awal yang dipanggil Baitullah atau Kaabah. Hal ini dinyatakan dalam surah Ali Imran:96-97, "Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang dibina di Mekah, yang barakah dan petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (antaranya) Makam Ibrahim. Maka sesiapa yang masuk kedalamnya, aman tenteramlah dia."
Ada riwayat menyatakan, Kaabah dibina oleh malaikat sebagai tempat tawaf mereka untuk menebus dosa kerana keterlanjuran mereka tidak bersetuju dengan rancangan Allah menciptakan Adam sebagai khalifah di muka bumi.
Adam dan Hawa ialah manusia pertama yang bertawaf di Kaabah, selepas mereka bertemu semula di Jabal Rahmah (sebuah bukit di Arafah) selepas dikeluarkan dari syurga. Lama kemudian sehinggalah tiba zaman Nabi Ibrahim, Ibrahim membawa anak isterinya, Hajar dan Ismail dari Palestin dan selepas melalui perjalanan jauh, anak isterinya ditinggalkan di suatu padang pasir atas perintah Allah. Lokasi itu berdekatan Kaabah.
Dalam surah Ibrahim:37, dijelaskan mengenai doa Ibrahim ketika meninggalkan orang yang disayanginya, "Ya Tuahan, aku telah menempatkan keluargaku di sebuah lembah yang tandus, tiada tumbuh-tumbuhan di sana, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Ya, Tuhan, mereka ditempatkan di sana supaya mendirikan solat, dan memakmurkannya dengan ibadat. Oleh itu jadikanlah sebahagian daripada manusia tertarik hati kepada mereka (supaya datang beramai-ramai ke sana) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan, semoga mereka bersyukur."
Beberapa tahun kemudian, apabila Ibrahim datang semula mencari anak isterinya, didapatinya lokasi itu sudah berkembang pesat. Asal telaga Zamzam ialah mata air yang terpancar dari tanah di bawah tapak kaki Nabi Ismail ketika Ismail menangis kehausan. Ketika itu ibunya Hajar panik lalu berlari-lari antara bukit Safa dan Marwah. Selepas tujuh kali berulang alik, Hajar kembali kesisi anaknya dan melihat ada mata air yang terpancar dari tanah tempat Ismail menghentak-hentakkan kakinya.
Tempat itu kemudian didatangi sekumpulan kabilah Jurhum dan mereka meminta izin Hajar untuk tinggal di situ. Mereka membangunkan tempat berkenaan. Doa Ibrahim supaya tempat itu makmur membangun menjadi kenyataan zaman berzaman sehingga kini.
Beberapa amalan terkandung dalam ibadat haji bersempena perbuatan nabi terdahulu. Umpamanya bertawaf, sebelum ini disyariatkan kepada Adam dan Hawa,kemudian Nabi Ibrahim dan kemudiannya Nabi Muhammad serta umat Muhammad.
sumber: MIDI 15 OCT 2011
No comments:
Post a Comment